Assalamualaikum w.b.t..
bebudak sekolah pakat balik
awal hari nih.. rupanya pemangku Sultan Kedah mangkat.. Inna Lillahi wa inna
ilaihi raji'un..
Sembah Takziah, Menjunjung
Kasih di atas kemangkatan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Yang Teramat
Mulia Dato' Seri Utama Tunku Annuar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah
(Tunku Bendahara Kedah Darul Aman).. Al-Fatihah..
Berikut adalah kenyataan media
dari Pejabat Menteri Besar Kedah.
KENYATAAN MEDIA
Teks Pengumuman Kemangkatan
Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar
Kedah Darul Aman
Bismillah Hirrahmanirrohim.
Bahawa dengan sedih dan
dukacitanya dimaklumkan Yang Teramat Mulia Dato' Seri Utama Tan Sri Tunku
Annuar Alhaj Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi
Jemaah Pemangku Sultan Kedah, telah mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak pada
pukul 12.20 pagi, hari Rabu, 21 haribulan Mei 2014 Masihi, bersamaan 21 Rejab
1435 Hijriah.
Jenazah Almarhum Yang Teramat
Mulia Tunku akan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, Alor
Setar bagi maksud penghormatan terakhir pada sebelah pagi oleh para pembesar
dan orang kenamaan, manakala oleh orang ramai mulai pukul 1 petang hingga 3
petang.
Jenazah Almarhum Yang Teramat
Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah akan
dimakamkan di Makam Di Raja Langgar selepas solat Asar pada hari ini, Rabu, 21
Mei 2014 Masehi, bersamaan 21 Rejab 1435 Hijriah.
Bendera Negeri, Persekutuan
dan lain-lain hendaklah dikibarkan pada separuh tiang selama tiga hari mulai 21
Mei 2014. Tempoh perkabungan adalah selama tiga hari mulai 21 Mei 2014 sehingga
23 Mei 2014. Sepanjang tempoh tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan
perayaan adalah dibatalkan.
Sebagai penghormatan ke atas
kemangkatan Yang Teramat Mulia Tunku Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku
Sultan Kedah, hari ini, Rabu, 21 Mei 2014, diisytiharkan sebagai hari cuti
peristiwa bagi seluruh Negeri Kedah Darul Aman.
Marilah sama-sama kita berdoa
ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, semoga roh Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku
Bendahara Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah dicucuri rahmat dan
ditempatkan bersama-sama para syuhadah dan solihin.
DATO' SERI HAJI MUKHRIZ TUN
MAHATHIR
Menteri Besar Kedah Darul Aman
Tarikh : 21 Mei 2014